Sebagai sebuah perkampungan tradisional, Kanchong Darat terkenal dengan kepelbagaian budaya yang mencerminkan kehidupan masyarakat setempat yang rata-ratanya berketurunan Jawa. Kepelbagaian budaya ini telah memberikan idea kepada penduduk tempatan untuk menjadikannya sebagai salah satu punca pendapatan. Deretan kedai yang menghiasi sepanjang laluan di Kanchong Darat jelas menggambarkan kerancakkan dalam bidang ekonomi yang diusahakan oleh penduduk di sekitarnya. Antara bentuk perusahaan yang terdapat di Kanchong Darat termasuklah perusahaan makanan tradisional, perusahaan kek, roti dan biskut, seni ukuran dan pertukangan, kraf tangan dan dekorasi, pakaian dan sebagainya.

 SISTERS BAKERY

KAKIFFA

      Penglibatan dua beradik, Azaniah dan Azarifa Hasan dalam dunia bakeri dan pastri mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Segalanya bermula apabila Azaniah dan Azarifa beserta seorang lagi adik mereka, Azasirin mengikuti Sijil Kemahiran Malaysia dalam bidang Penyediaan dan Pembuatan Makanan di Deena Skill Academy selama 6 bulan pada tahun 2014.

      Berbekalkan ilmu yang dipelajari ketika belajar di Deena Skill Academy, di samping pengalaman Azarifa dan Azasirin yang sebelum ini pernah bekerja di kedai bakeri, ketiga-tiga beradik ini akhirnya membuat keputusan untuk membuka perniagaan mereka sendiri. Pengalaman dan jaringan hubungan Azaniah Hasan yang pernah menjadi Ahli Majlis sebelum ini juga sedikit sebanyak membantu dari segi promosi kepada masyarakat sekitar. Pusat Internet 1Malaysia Kanchong Darat merupakan lokasi bagi mereka mendapatkan idea dan resepi-resepi terkini yang boleh dicuba melalui Google dan laman Youtube.

      Bagi merealisasikan impian tersebut, mereka menghantar permohonan bagi menyewa salah satu lot kedai di Medan Selera MDKL. Setelah permohonan diterima dan diluluskan, Sisters Bakery mula beroperasi secara rasmi pada bulan Februari 2016. Antara produk yang terdapat di kedai tersebut termasuklah aneka roti, biskut, kek dan kek cawan, ais krim, minuman ringan dan sebagainya. Mereka juga menerima tempahan kuih-muih dan hamper untuk majlis-majlis keramaian.

      Selain memasarkan produk mereka di Medan Selera MDKL, Sisters Bakeri turut menghantar roti dan lain-lain produk untuk dipasarkan di Pusat Internet 1Malaysia Kanchong Darat, kolej komuniti dan kedai-kedai di sekitar Banting yang membuat permintaan. 

 

RAFIUDDIN RABU

Pengasas SKPixtures dan Chilli Dawg Banting

Penulis Buku #Gemok

rafi

        Penglibatan dalam dunia fotografi dan produk makanan mungkin sesuatu yang tidak pernah dijangka oleh pengasas jenama SKPixtures dan Chilli Dawg Banting, Rafiuddin Rabu. Namun pemilik Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian (Pengajian Sastera dalam Bahasa Inggeris) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini menjadikan ia sebagai peluang dan cabaran yang harus diambil.

       Faktor kegagalan dalam pencarian kerja, di samping keperluan mencari sumber pendapatan telah mendorong Rafiuddin memulakan langkah pertama sebagai jurugambar perkahwinan pada bulan Mei 2013. Beliau telah diberi kepercayaan oleh salah seorang rakan di sekolah rendah untuk merakamkan foto-foto menarik dalam majlis perkahwinannya. Bermula dari saat itu, Rafiuddin mula bergiat aktif dalam dunia fotografi dan senireka grafik.

          Kolaborasi Rafiuddin bersama beberapa orang rakan seperjuangan di UKM telah mendorong mereka menubuhkan sebuah projek yang diberi nama Projek Kawen. Di bawah Projek Kawen Ventures, pelbagai pakej berkaitan perkahwinan ditawarkan seperti perkhidmatan fotografi, solekan dan andaman, persembahan silat, gubahan hantaran, photobook/guestbook corner, candy buffet, printing T-Shirt dan sebagainya. Di bawah Projek Kawen ini jugalah, produk makanan yang diberi nama Chilli Dawg telah diperkenalkan. Walau bagaimanapun, atas faktor kekangan masa dan komitmen dengan dunia pekerjaan telah menyebabkan legasi Projek Kawen tidak dapat diteruskan.

        Kesibukan dalam dunia fotografi dan senireka grafik tidak mematahkan semangat Rafiuddin Rabu untuk meneruskan minatnya dalam dunia penulisan. Naskhah sulungnya berjudul #Gemok telah mendapat perhatian penerbit Janggut Press dan diterbitkan pada tahun 2015. Karya yang diadaptasikan daripada pengalaman hidup penulis sendiri. #Gemok berkisar tentang halangan dan dugaan yang terpaksa ditempuhi oleh ‘bangsa gemok’. Buku ini menjadi inspirasi kepada golongan berbadan besar untuk mengejar cita-cita mereka.

        Pada awal 2016, Rafiuddin Baru telah memberikan nafas baru terhadap produk makanan Chilli Dawg. Melalui penjenamaan semula Chilli Dawg Banting, produk bertemakan menu makanan sihat ini mempertaruhkan lapan menu utama seperti Chilli Dawg, Cheezy Dawg, Cheezy Fries, Rojak Buah, Potato Cheese. Cheezy Toast, Creamy Dawg dan Creamy Fries. Kini pada usia 27 tahun, anak muda kelahiran Kanchong Darat, Banting ini mampu tersenyum bangga dengan pencapaiannya sebagai CEO SKPixtures. Selain mengimpikan studio showroom sendiri, Rafiuddin berharap agar jenama SKPixtures dan Chilli Dawg Banting mampu menjadi salah satu jenama yang sinonim dengan warga Banting.