KEREPEK HOUSE

(FAZZ ENTERPRISE)

kerepekhouse

     Fazz Enterprise merupakan satu jenama yang tidak asing lagi dalam kalangan penggemar kerepek tempatan mahupun pengunjung-pengunjung dari luar. Syarikat yang diasaskan oleh oleh Tuan Haji Mahmudin pada 24 Februari 1983 ini mula beroperasi dengan modal yang sedikit dan skop pasaran yang kecil. Namun, berkat kesungguhan dan kesabaran yang dimiliki oleh Tuan Haji Mahmudin, beliau telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa seperti di Jerman, United Kingdom, Singapura dan Australia bermula dari tahun 1991 hingga 2005.

     Walau bagaimanapun, faktor kekurangan bahan mentah di samping permintaan yang tinggi dari dalam negara, Fazz Enterprise terpaksa menghentikan aktiviti mengeksport produk makanan mereka ke luar negara menjelang tahun 2006 dan menumpukan perhatian terhadap pasaran domestik. Fazz Enterprise telah melakukan penjenamaan semula terhadap produk-produk keluaran syarikatnya di bawah jenama Kerepek House pada tahun 2000 serta membina sebuah kedai pameran, khusus untuk tujuan pembungkusan dan jualan.

      Di bawah pengurusan En. Mohd Fazly bin Haji Mahmudin yang mengambil alih perniagaan yang dikendalikan oleh bapanya bermula pada tahun 2003, Fazz Enterprise terus mengorak langkah dan berdaya saing dengan memperkenalkan pelbagai jenis produk makanan ringan yang berasaskan kerepek serta makanan tradisional lain. Selain memiliki kedai pameran Kerepek House, Fazz Enterprise juga mempunyai ladang bagi tujuan penanaman bahan mentah serta kilang untuk memproses bahan-bahan mentah tersebut menjadi produk makanan ringan.

     Antara produk keluaran syarikat Fazz Enterprise merangkumi produk yang berasaskan pisang tanduk, ubi kayu, keledek, keladi dan sukun. Manakala syarikat IKS lain pula membekalkan produk selain dari bahan asas seperti berikut pisang abu, kerepek bawang, muruku, beraneka jenis kuih tradisional dan sebagainya. Sehingga kini, kepelbagaian jenis produk yang dijual di sini mencecah sehingga 100 jenis produk merangkumi produk sedia siap (bergoreng) dan mentah (belum bergoreng). Jenama Kerepek House di bawah syarikat Fazz Enterprise terus menjadi mercu tanda bagi para pengunjung yang datang ke Pekan Banting.

ALAMAT : Lot 1454, Jalan Cempedak, Kampung Kanchong Darat, 42700 Banting, Kuala Langat, Selangor

WAKTU BEROPERASI : Isnin – Ahad (8.00 pagi – 9.30 malam)

NO. TELEFON / FAX : 03-31813076

EMELAlamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

FACEBOOKwww.facebook.com/kerepekfazz

 

LADYZA CAKE

Ladyza

     Memandangkan kebanyakan kedai kek di Pekan Banting dimonopoli oleh satu kaum sahaja, masyarakat Islam sekarang sudah terbuka minda dan tahap kesedaran dalam memastikan setiap barangan yang diguna dan dimakan diketahui halal haramnya. Pendedahan yang berterusan melalui media-media elektronik telah menjadikan mereka lebih bijak untuk membuat pilihan mencari produk-produk kek dan roti yang diusahakan oleh orang Islam. Menyedari hakikat tersebut, seorang usahawan wanita dari Kanchong Darat tampil dengan idea memasarkan produk-produk makanan HALAL berasaskan kek dan roti.

     Kedai Kek Ladyza mengusahakan produk yang bertemakan Muslim Homemade Cakehouse mula bertapak secara kecil-kecilan di rumah. Bermula dengan hobi dan seorang pelanggan, kini Ladyza melebarkan sayap perniagaan dengan membuka sebuah kedai yang pelanggannya bukan sahaja di kalangan golongan bawahan, sederhana malahan kepada kelas atasan. Pelanggannya juga bukan saja terdiri dari kaum Melayu tetapi juga pelbagai bangsa seperti kaum Cina dan India. Produk-produk yang terdapat di Kedai Kek Ladyza ialah seperti kek hari jadi, ulangtahun dan keraian, kek pertunangan dan perkahwinan, cupcake dan muffin, hamper, roti dan bun, serta coklat buatan tangan

     Syarikat ini diuruskan sendiri oleh pemiliknya, Puan Rosmyzah Binti Mahmur @ Mohamod. Beliau telah mendapat pengalaman melalui kursus-kursus yang dihadiri secara persendirian. Syarikat juga mendapat khidmat konsultan daripada syarikat yang dilantik iaitu Syarikat Yahaya Utility Builder, di mana pemiliknya mempunyai Diploma Kajian Perniagaan dan Pengurusan UITM. Pada permulaannya, pembiayaan modal syarikat adalah menggunakan sumber kewangan sendiri. Modal asset, pengubahsuaian kedai dan modal berpusing untuk 6 bulan pertama sebanyak lebih kurang RM30,000.00. Pada bulan Oktober 2009, Kedai Kek Ladyza telah menerima penambahan modal pertama dari TEKUN sebanyak RM15,000.00. Kemudian pada bulan Januari 2012, Kedai Kek Ladyza memperoleh penambahan modal kedua dari TEKUN berjumlah RM35,000.00.

      Terletak di kawasan laluan yang sibuk, yakni di antara Pekan Banting dan Tanjung Sepat menjadikan Kedai Kek Ladyza sering menjadi tumpuan ramai. Para pelanggan terdiri daripada kanak-kanak sekolah, para penduduk di sekitar Kampung Kanchong Darat, syarikat-syarikat swasta dan kerajaan, serta para pelanggan dari Sijangkang, Dengkil hingga ke Tanjung Sepat. Kedai Kek Ladyza juga mempunyai perkhidmatan penghantaran kerana terdapat juga pelanggan yang datang dari luar kawasan seperti Putrajaya dan beberapa kawasan di Kuala Lumpur. Kedai Kek Ladyza juga membekalkan pelbagai roti bun ke kedai-kedai makan, sekolah-sekolah menengah di sekitar Kuala Langat. Selain dari itu, syarikat ini juga membuat hamper dan sering mendapat tempahan dari badan-badan swasta dan NGO dan juga tempahan dari pelanggan yang “walk in”.

       Oleh kerana Kedai Kek Ladyza mempunyai kedai bahan-bahan bakeri sendiri, mereka tidak mendapat masalah untuk mendapatkan bekalan kerana bahan-bahan akan dibeli secara pukal dalam kuantiti yang banyak daripada pembekal terus untuk tujuan jualan harian. Kedai Kek Ladyza juga yakin bahawa perniagaan ini adalah berdaya maju dan mampu bersaing dengan syarikat-syarikat lain, terutamanya bukan Bumiputra. Kewujudan Kedai Kek Ladyza diharap akan dapat merancakkan industri kulineri Halal yang semakin berkembang di Malaysia.

ALAMAT : Lot 522, Batu 22, Jalan Sultan Alam Shah, Kampung Kanchong Darat, 42700 Banting, Kuala Langat, Selangor Darul Ehsan

WAKTU BEROPERASI : Isnin – Sabtu (9.00 pagi – 8.30 malam)

NO. TELEFON / FAX : 013-3865640 / 03-31801364

EMEL : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

LAMAN FACEBOOK : https://www.facebook.com/pages/Ladyza-Cake/200170856669239

 

JBR BUNDLE BOTIQUE

JBRBUNDLE

     Perniagaan pakaian terpakai atau lebih dikenali sebagai ‘bundle’ mempunyai kelompok penggemarnya yang tersendiri. Pakaian bundle ini kebanyakannya berasal dari negara-negara yang mempunyai empat musim seperti di Jepun, Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom dan sebagainya. Ekoran peredaran musim yang sering terjadi di negara-negara tersebut, kebanyakan pakaian tidak lagi sesuai digunakan lalu dikumpulkan oleh pihak-pihak tertentu dan dieksport ke negara luar. Di Malaysia, terdapat ramai pengusaha dan pembekal pakaian bundle, antaranya termasukklah JBR BUNDLE.

     Memulakan perniagaan pada tahun 2007, JBR BUNDLE yang diasaskan oleh Encik Abdul Jabbar Bin Bachtiar Nasution menjadikan Pekan Banting sebagai lokasi pertama bagi memasarkan pakaian bundle kepada orang ramai. Perniagaan ini merupakan lanjutan daripada perniagaan yang dimulakan oleh bapanya sebelum ini. Faktor desakan hidup menyebabkan Encik Abdul Jabbar membuka cawangan baru untuk memasarkan produk pakaian bundle ini. Dengan berbekalkan modal sebanyak RM30 ribu serta berkat tunjuk ajar daripada ahli keluarga, di samping kajian yang dilakukan terhadap pengusaha-pengusaha kedai pakaian bundle sebelum ini, JBR Bundle akhirnya telah berjaya membuka cawangan baru di Port Klang.

     Pakaian bundle ini diimport dari beberapa buah negara luar seperti Amerika Syarikat, Australia dan Jepun. Dengan moto ‘Belanja Kurang, Bergaya Lebih’, JBR BUNDLE turut menawarkan khidmat nasihat dan menjadi pembekal pakaian terpakai ke seluruh negara. Setelah hampir tujuh tahun menceburkan diri dalam perniagaan pakaian terpakai ini. Selain kedai induk yang terletak di Pekan Banting, JBR BUNDLE juga memiliki lima cawangan lain di Port Klang, Pandamaran, Shah Alam, Hentian Kajang dan terbaru, di Kanchong Darat.B

     Cawangan terbaru di Kanchong Darat ini telah dibuka secara rasminya pada tanggal 1 Jun 2013 dan dikenali dengan nama JBR Bundle Botique. Dibuka di atas tanah seluas 3/4 ekar, JBR Bundle Botique diwujudkan atas kajian kelemahan-kelemahan yang terdapat di JBR Bundle sebelum ini. Butik yang mempunyai reka bentuk dan hiasan dalaman yang unik dan ekslusif ini terbahagi kepada lima bahagian, iaitu bahagian lelaki, bahagian wanita, bahagian kanak-kanak, bahagian kasut dan bahagian aksesori. JBR Bundle Botique menawarkan pelbagai barangan berupa seluar, baju, kasut, beg tangan serta aksesori-aksesori lain yang bermutu dan berjenama pada harga yang rendah. Pembukaan JBR Bundle Botique ini diharap dapat merancakkan lagi perniagaan di Kanchong Darat.

ALAMAT : Jalan Sultan Alam Shah, Kampung Kanchong Darat, 42700 Banting, Kuala Langat, Selangor

WAKTU BEROPERASI : - Isnin – Jumaat (12.00 tengah hari – 12.00 tengah malam)

                                  - Sabtu & Ahad (10.00 pagi – 12.00 tengah malam)

NO TELEFON / FAX : 03-31815676

EMEL : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

FACEBOOK : www.facebook.com/JBRBUNDLE

 

KEDAI SANTAN KANCHONG DARAT

11081060 1430894977207920 5453989777568254656 n

    Mula diperkenalkan pada tahun 2014, Kedai Santan Kanchong Darat menjadi salah satu produk yang kian mendapat tempat di pasaran. Terletak bersebelahan Petronas Kanchong Darat dan berhadapan dengan Masjid As-Solihin Kanchong Darat, Kedai Santan Kanchong Darat beroperasi seawal jam 3.30 pagi hingga jam 4.30 petang.

   Perniagaan yang dimiliki oleh anak muda tempatan ini menawarkan tiga produk utama iaitu santan, cili kisar dan kerisik. Bagi memastikan kualiti dan kesegarannya, produk –produk ini dihasilkan selepas mendapat permintaan daripada para pelanggan dan disimpan di dalam kotak berisi ais. Di samping itu juga, Kedai Santan Kanchong Darat turut menawarkan perkhidmatan penghantaran di sekitar daerah Kuala Langat. Kedai Santan Kanchong Darat juga turut memberikan peluang kepada usahawan-usahawan setempat untuk meletaakkan produk mereka di kedai tersebut.

    Mendapat bekalan kelapa dari daerah Sabak Bernam, Kedai Santan Kanchong Darat menggunakan kira-kira 800-900 biji kelapa sehari dalam penghasilan produk santan segar. Santan segar ini akan dihantar ke kedai-kedai runcit di sekitar daerah Kuala Langat seawal jam 4.00 pagi.

    Bagi mencipta kelainan dari segi promosi, Kedai Santan Kanchong Darat mencetak kira-kira seribu kalendar setiap tahun untuk diberikan kepada orang ramai. Penggunaan sticker khas pada van bergerak dan kotak penghantaran juga merupakan salah satu bentuk promosi yang dilakukan oleh Kedai Santan Kanchong Darat.

ALAMAT : Jalan Sultan Alam Shah, Kampung Kanchong Darat, 42700 Banting, Kuala Langat, Selangor

               (Bersebelahan Petronas Kanchong Darat / Berhadapan Masjid As-Solihin Kanchong Darat)

TELEFON : 013-332 6600

EMEL : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

FACEBOOK : www.facebook.com/kedaisantankanchongdarat