HOMESTAY

          Program homestay mula diperkenalkan di peringkat nasional pada tahun 1995 oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia. Homestay merupakan antara cabang pelancongan desa yang dapat memperkenalkan aktiviti sukan, permainan dan kebudayaan tradisional masyarakat Malaysia. Homestay adalah gabungan perkataan Bahasa Inggeris iaitu home dan stay. Dalam Bahasa Inggeris perkataan home membawa maksud rumah manakala stay bererti tinggal.


           Melalui konsep homestay ini, pelancong akan tinggal bersama keluarga tuan rumah yang dipilih dan seterusnya berpeluang mengecapi cara hidup seharian keluarga berkenaan serta kebudayaan Malaysia secara langsung. Konsep Program Tinggal Bersama adalah satu bentuk kemudahan tempat tinggal yang baru untuk pelancong dalam industri pelancongan negara Malaysia. Program homestay berbeza konsep kemudahan penginapan sederhana yang lain di mana pelancong tidak tinggal bersama dengan keluarga.

           Program homestay di daerah Kuala Langat telah bermula pada bulan Julai 1998. Pada peringkat awal, program ini menyaksikan penglibatan Kampung Kanchong Darat dan Kampung Endah. Pada tahun 2002, Kampung Batu Laut telah turut serta dalam program ini. Ketiga-tiga buah kampung ini telah meraih banyak kejayaan dalam pertandingan kampung yang dianjurkan oleh pihak Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Antara homestay-homestay yang terdapat di daerah Kuala Langat termasuklah;

          • Homestay Kampung Endah
          • Homestay Kampung Kanchong Darat
          • Homestay Kampung Batu Laut
          • Homestay Kampung Sungai Lang
          • Homestay Kampung Sungai Kelambu
          • Homestay Pulau Carey

          Program homestay di Kampung Kanchong Darat merupakan antara daya tarikan utama para pelancong yang datang ke daerah Kuala Langat, khusunya di Pekan Banting. Homestay Kanchong Darat sering menjadi pilihan pelajar-pelajar universiti mahupun agensi-agensi berkaitan, sama ada dari dalam mahupun luar negara bagi menjalankan 'program anak angkat'. Program homestay di Kanchong Darat ini memberi peluang kepada setiap peserta untuk merasai suasana kehidupan di desa, di samping mempelajari budaya dan cara hidup masyarakat di sini.

ALAMAT :
Homestay Kanchong Darat
Pusat Sumber JKKK, Kanchong Darat,
42700 Banting, Kuala Langat,
Selangor Darul Ehsan.

 

- JAWATANKUASA HOMESTAY KANCHONG DARAT -

PENAUNG / PENASIHAT
Haji Mahyudin bin Bakri
(03-31874505)

TIMBALAN PENGERUSI / KOORDINATOR
Mohd Saim bin Katimin
(013-6726674)

BENDAHARI / KERANI AKAUN
Kamsani bin Ngadiman
(019-6520654)

AHLI JAWATANKUASA:
Mustaffa bin Misnan (012-21760067)
Mohd. Yusof bin Sanuri (016-2498873)
Rosnan bin Warthi (013-2741072)
Hj. Bahrom bin Munir (03-31870222)
Ngadiam binti Sariman (013-2034505)

 

Senarai peserta yang pernah mengikuti program Homestay di Kampung Kanchong Darat
          • JKKK dan penduduk Bandar Sri Bandi, Kemaman, Terengganu
          • Kampung Ibok, Kemaman, Terengganu
          • Kampung Tengku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan
          • Kampung Kedah, Langkawi, Kedah
          • Kampung Bandar Bukit Besi, Terengganu
          • Peserta kursus INFRA dari daerah-daerah negeri Johor
          • Mahasiswa mahasiswi dari Universiti Sains Malaysia
          • Dari negeri Sarawak
          • Dari Parlimen Putrajaya
          • Mahasiswa mahasiswi Universiti Islam Antarabangsa
          • Belia-belia pengakap dari Korea Selatan
          • Dari negara Jepun

 


PANTAI PERANGINAN

 

Pantai Morib

MORIB

     Pantai Morib merupakan salah satu daya tarikan pelancong yang berkunjung ke daerah Kuala Langat. Pantai yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Pekan Banting ini sering menjadi pilihan untuk aktiviti riadah bersama keluarga mahupun rakan-rakan. Pantai Morib pernah mencatatkan sejarah tersendiri apabila menjadi tempat pendaratan semula tentera British di negeri Selangor sekitar tahun 1945. Tentera British yang datang bersama-sama dengan tentera Gurkha dari India telah mendarat di Pantai Morib untuk menakluki semula negeri Selangor yang pada ketika itu dikuasai oleh tentera Jepun.

     Peristiwa pengguguran bom atom di Bandar Hiroshima dan Nagasaki telah menyebabkan pihak Jepun akhirnya menyerah kalah. Nasib penduduk di Pekan Banting yang pada ketika itu hidup dalam penderitaan dan kemelaratan di bawah pemerintahan Jepun akhirnya terbela setelah British mengambil alih tampuk pemerintahan. Sebagai memperingati peristiwa pendaratan tentera British dan Gurkha di Pantai Morib, mereka telah membina tugu peringatan di pantai ini.

   Pantai Morib pernah mengalami fasa kemerosotan ekoran beberapa isu seperti masalah kebersihan dan persaingan dengan beberapa buah pantai berhampiran yang lain hingga menjejaskan jumlah kedatangan pelancong yang datang ke destinasi pelancong terkenal ini. Dalam usaha mengembalikan era kegemilangan Pantai Morib, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM6 juta di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua untuk kerja-kerja naik taraf.

     Kini, dengan pelbagai kemudahan seperti tandas, gerai, surau, pondok, tempat meletak kenderaan dan taman permainan kanak-kanak, Pantai Morib kembali menjadi tumpuan ramai yang datang berkunjung pada setiap hujung minggu.

Pantai Kelanang

KELANANG

KELANANG2

       Sebuah lagi pantai yang menjadi daya tarikan pengunjung ke Pekan Banting ialah Pantai Kelanang. Terletak kira-kira 8 kilometer dari Pekan Banting, Pantai Kelanang baru sahaja dibuka kepada orang ramai terutamanya untuk penduduk di sekitar Kuala Langat sejak beberapa tahun yang lalu.

       Struktur pantai yang landai dan ditumbuhi pokok bakau menjadi antara daya tarikan utama di Pantai Kelanang. Selain menjadi tumpuan untuk aktiviti berkelah dan beriadah, Pantai Kelanang merupakan salah satu lokasi kegemaran peminat-peminat seni fotografi untuk merakamkan foto-foto permandangan menarik yang terdapat di sini.

       Pantai ini masih lagi dalam proses naik taraf dalam menyediakan lebih banyak kemudahan dan infrastruktur kepada pengunjung. Selain kemudahan-kemudahan asas seperti tandas awam, surau, gelanggang permainan dan tapak perkhemahan, Pantai Kelanang turut menyediakan Menara Pandang untuk memudahkan para pengunjung menikmati keindahan panorama dari atas menara setinggi empat tingkat ini.

 


 TEMPAT-TEMPAT BERSEJARAH

 

Rumah Haji Sidek

HAJISIDEK

      Salah satu daya tarikan di Kanchong Darat ialah Rumah Haji Sidek yang merupakan bapa kepada lima orang jaguh badminton negara; Misbun, Razif, Jalani, Rahman dan Rashid Sidek. Kisah mengenai keluarga Haji Sidek atau nama sebenarnya Dato’ Haji Sidek bin Haji Abdullah Kamar pernah diadaptasikan dalam siri animasi Anak-Anak Sidek yang popular sekitar tahun 1990-an.

      Rumah kayu bercat biru yang terletak di jalan masuk utama ke Kanchong Darat ini ditandai dengan sebuah tugu peringatan yakni bulu tangkis dan sepasang raket badminton yang dibina di bahagian hadapan halaman rumah. Tugu ini dibina bagi mengabadikan kejayaan Allayarham Dato’ Haji Sidek dalam usaha melatih kelima-lima anak lelakinya sehingga menjadi pemain badminton yang handal dan digerun.

      Allayarham Dato’ Haji Sidek pernah merangkul kejuaran dalam kategori beregu Lelaki dan beregu campuran Daerah Kuala Langat pada tahun 1958, Juara Perseorangan Lelaki Daerah Kuala Langat dari tahun 1959 hingga tahun 1962 dan Juara Perseorangan Lelaki Piala Novis Melayu Selangor (1964). Allayarham meneruskan legasi kecemerlangan dalam dunia badminton dengan melatih kelima-lima anak lelakinya seawal usia mereka 7 tahun di gelanggang badminton yang dibina di hadapan rumah mereka.

      Sikap tegas dan disiplin yang diterapkan oleh Allayarham dalam melatih kelima-lima anak lelakinya telah membuahkan hasil apabila kesemua mereka berjaya menempa pelbagai kejayaan dan kemenangan dalam arena badminton, sama ada di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa. Ketokohan yang dimiliki oleh Allayarham Dato’ Haji Sidek menjadi inspirasi dan kebanggaan, bukan sahaja bagi penduduk-penduduk di Kanchong Darat, malah juga bagi seluruh rakyat Malaysia.

 

Istana Bandar

JUGRA

          Istana Alaeddin atau lebih dikenali sebagai Istana Bandar merupakan monumen bersejarah yang terletak di Kampung Bandar, Jugra. Istana yang mempunyai 40 buah bilik ini dibina oleh Sultan Alaeddin Suleiman Shah sebagai tempat bersemayam dan tanda pertabalan baginda sebagai Sultan Selangor yang kelima. Dibina di atas tapak seluas 12.96 ekar, kos pembinaan istana ini dibiayai sepenuhnya oleh baginda. Mula dibina pada tahun 1899 dan siap sepenuhnya pada tahun 1903, Istana Bandar menjadi tempat bersemayam bagi Sultan Alaeddin Suleiman Shah sehingga kemangkatan baginda pada tahun 1938.

Keistimewaan bangunan ini terletak pada reka bentuknya yang menggambungkan senibina tempatan, Moorish India, Cina dan kolonial British. Bumbung limas mengambil elemen reka bentuk senibina Melayu yang popular sekitar penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20. Elemen Moorish India dapat dilihat pada hiasan dan genting bumbung Istana Bandar. Pengaruh Cina diperlihatkan menerusi ukiran dan ragam hias. Manakala bentuk simetri yang menghiasi bangunan istana menggambarkan gaya warisan British. Keindahan Istana Bandar turut diserikan lagi dengan pembinaan kolam-kolam air dan landskap yang menarik.

Struktur bangunan istana setinggi dua tingkat ini diperbuat daripada batu bata dan motar kapur, manakala tangga dan pintu diperbuat daripada kayu cengal. Permukaan lantai di bahagian atas dilitupi dengan lapisan kayu, manakala tingkat bawah merupakan lantai konkrit. Reka letak istana dibahagikan kepada tiga bahagian utama mengikut hirarki. Bahagian pertama merupakan ruangan awam untuk rakyat jelata. Bahagian kedua adalah ruangan separa peribadi untuk pegawai istana. Manakala bahagian ketiga adalah kawasan peribadi untuk kerabat diraja.

Tingkat pertama berfungsi sebagai ruang awam dan ruang separa peribadi manakala tingkat bawah mengandungi ruang untuk kerabat diraja. Istana ini mempunyai empat puluh buah bilik untuk disesuaikan dengan keperluan keluarga diraja. Bumbung limas melitupi kawasan utama yang dibina mengikut ketinggian yang berbeza sebagai cerminan hirarki politik istana. Bumbung bertingkat digunakan untuk memberi perlindungan kepada kawasan utama yang dikhususkan untuk pegawai kerajaan, dapur dan balai nobat. Sementara itu, bumbung datar ditambah kemudiannya, ketika kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan pada tahun 1914. 

Sungguhpun setelah ditabalkan menjadi Sultan Selangor yang kelima pada tahun 1898 dan bersemayam di Istana Mahkota Puri, Klang, Sultan Alaeddin Suleiman Shah masih berulang-alik ke Istana Bandar untuk bertemu dengan isteri baginda, Hajjah Safiah. Walau bagaimanapun, setelah kemangkatan baginda pada tahun 1938, istana tersebut dibiarkan kosong.

Pada 24 Julai 1980, Istana Bandar telah diwartakan sebagai monument lama dan tapak tanah bersejarah di bawah Akta Bendapurba. Pada penghujung tahun 80-an, kerajaan Negeri Selangor telah melakukan proses baik pulih ke atas bangunan Istana Bandar dan mengembalikan semula keindahan senibina monumen bersejarah ini. Bangunan istana ini kemudiannya dijadikan Pusat Kraftangan Daerah di Kuala Langat. Ekoran sambutan yang kurang menggalakkan, Pusat Kraftangan tersebut kemudiannya ditutup.

Bangunan ini kemudiannya dijadikan sebagai Pusat Tahfiz Al-Quran di bawah Jabatan Agama Islam Selangor pada pertengahan bulan Jun 1997. Setelah Pusat Tahfiz berpindah ke bangunan baharu pada penghujung tahun 1999, Istana Bandar sekali lagi dibiarkan kosong. Pada tahun 2006, Istana Alaeddin telah didaftarkan sebagai bangunan warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan oleh Jabatan Warisan Negara. Pada tahun 2008, Lembaga Muzium Selangor yang kini dikenali sebagai Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) telah menyerahkan Istana Bandar kepada Jabatan Warisan Negara untuk dibaikpulih dengan kos mencecah 1.9 juta ringgit.

Setelah kerja-kerja baik pulih siap pada bulan Disember 2010, Istana Bandar diserahkan semula kepada PADAT. Kini, Istana Bandar menjadi salah satu daya tarikan pelancong yang berkunjung ke daerah Kuala Langat. 

 

Makam Diraja Jugra

       Terletak di Bukit Jugra, Makam Diraja Jugra merupakan sebuah kompleks pemakaman bagi keluarga diraja negeri Selangor. Kompleks Makam Diraja yang dibina di atas kawasan berkeluasan 5 ekar dan dikelilingi kawasan berpagar ini menempatkan makam bagi keluarga Almarhum Sultan Abdul Samad Ibni Almarhum Raja Abdullah.

      Almarhum Sultan Abdul Samad Ibni Almarhum Raja Abdullah merupakan Sultan Selangor yang keempat. Dilahirkan pada tahun 1804, Sultan Abdul Samad telah ditabalkan menjadi Sultan Selangor pada tahun 1857 bagi menggantikan Sultan Muhammad Syah yang mangkat pada tahun yang sama. Baginda memerintah negeri Selangor selama 41 tahun sebelum mangkat pada tanggal 6 Februari 1898. Jenazah baginda kemudiannya dimakamkan di Makam Diraja yang terletak di Bukit Jugra, Kuala Langat.

      Selain menempatkan makam Allayarham Sultan Abdul Samad, kawasan makam diraja ini turut menempatkan makam kaum kerabat baginda. Antaranya termasuklah Makam Almarhum Tengku Muda Musa, Makam Almarhumah Tunku Alfah binti Almarhum Sultan Yaakob, Almarhum Tunku Maharum, Almarhum Raja Berkat, Makam Almarhumah Tengku Muteh Ibni Sultan Abdul Samad dan Yang Mulia Raja Kahar.

      Makam Diraja Jugra yang terletak di Jalan Makam, Banting ini boleh dikunjungi oleh orang awam bermula dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Orang ramai yang ingin berkunjung ke kawasan Makam Diraja ini dikehendaki mematuhi etika pemakaian dan peraturan-peraturan lain yang telah ditetapkan.

 

Muzium Insitu

INSITU

         Sebuah lagi lokasi bersejarah yang terdapat di daerah Kuala Langat ialah Muzium Insitu yang terletak kira-kira 300 meter di kaki bukit Jugra. Bangunan dua tingkat yang dibina oleh oleh Kapten Harry Charles Syers pada 1878 ini merupakan bekas balai polis lama dan berfungsi sebagai tempat untuk melaksanakan hukuman menerusi sistem kehakiman British yang digunapakai pada ketika itu.

       Bangunan balai polis lama atau juga dikenali sebagai rumah pasung ini dipercayai wujud sejak zaman pemerintahan Sultan Abdul Samad lagi. Ia merupakan antara balai polis terawal yang dibina di Selangor bagi menempatkan para pesalah yang melakukan kesalahan, sebelum terbinanya Penjara Pudu pada tahun 1890. Bahagian atas bangunan ini dijadikan sebagai mahkamah, sementara bahagian bawah merupakan penjara. Bangunan ini juga dikatakan pernah digunakan sebagai tempat melaksanakan hukuman gantung. Dakwaan itu dibuat berdasarkan kewujudan sebuah bilik kecil yang misteri bersebelahan dengan gerigi lokap.

      Pada tanggal 19 November 2002, bangunan ini telah diwartakan oleh Jabatan Warisan Malaysia sebagai bangunan warisan. Bangunan ini telah mengalami proses ekskavasi dan pemuliharaan yang telah dilakukan oleh Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT). Muzium Insitu telah dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, YAB Tan Sri Dato’ Sri Mohd Khalid Ibrahim pada 24 Mac 2012. Muzium ini mula dibuka kepada umum pada tanggal 17 Januari 2012. Ia dibuka untuk lawatan pada setiap hari Selasa hingga Ahad, bermula dari jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang.

         Muzium Insitu menempatkan tiga ruang galeri, yakni Galeri A, Galeri B dan Galeri C. Galeri A memuatkan sejarah dan kronologi perkembangan daerah Kuala Langat tentang asal usul Kuala Langat, sejarah Jugra, sejarah Polis Selangor, sejarah Rumah Pasung, zaman kesultanan dan salasilah Kesultanan Selangor. Ruang di Galeri B pula mempamerkan kerja-kerja ekskavasi dan arkeologi Rumah Pasung dan kerja-kerja konservasi Rumah Pasung yang dijalankan oleh pihak pengurusan Lembaga Muzium Selangor bermula dari tahun 2000 sehingga ia diwujudkan sebagai Muzium Insitu Jugra. Manakala Galeri C pula memuatkan tinggalan sejarah dan tapak warisan Kuala Langat yang seperti Istana Bandar, Masjid Sultan Ala’eddin, Pejabat Lama Daerah Kuala Langat, Makam Di Raja Jugra, Istana Sultan Ala’eddin, Perigi Lama, Stor Peluru dan Sekolah Bandar.

 

Masjid Alaeddin

Masjid Diraja Sultan Alaeddin atau juga dikenali sebagai Masjid Bandar merupakan satu lagi daya tarikan menarik di daerah Kuala Langat. Terletak kira-kira 550 meter dari Istana Bandar, Masjid Diraja Sultan Alaeddin merupakan antara masjid tertua di negeri Selangor dan masih kukuh hingga ke saat ini. Masjid ini juga pernah menjadi Masjid Negeri bagi negeri Selangor suatu ketika dahulu.

Dibina pada tahun 1905, nama masjid ini diambil bersempena dengan nama Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa, yakni Sultan Selangor yang kelima. Pembinaan masjid ini merupakan hasil ilham dan dibiayai sepenuhnya oleh almarhum baginda. Masjid ini dikatakan mampu menampung seramai 500 jemaah dalam satu masa. Masjid Diraja Sultan Aleddin ini telah dirasmikan pada tanggal 18 Jun 1924 dalam upacara yang gilang gemilang.

Dari segi reka bentuk, Masjid Bandar mempunyai seni bina campuran antara India-Muslim dan Islam dari Timur Tengah. Ianya dikatakan mempunyai pengaruh senibina pemerintahan Deli di Medan, Sumatera Utara. Bangunan utama masjid yang berkubah ini dikelilingi dinding tinggi dan bertingkap jeriji. Tiang seri dan seni ukir dinding serta mimbarnya yang unik diperbuat daripada kayu yang bermutu tinggi dan tahan lama. Mimbar yang terdapat di Masjid ini sering digunakan oleh Sultan Alaeddin semasa baginda membaca khutbah Jumaat, khutbah Hari Raya Aidilfitri dan khutbah Hari Raya Aidil adha. Selepas kemangkatan baginda, masjid ini hanya digunakan oleh penduduk setempat.

Masjid ini telah diwartakan sebagai Monumen Lama dan Tapak Tanah Bersejarah di bawah Akta Bendapurba pada 24 Julai 1980. Akta ini melarang perbuatan-perbuatan pencerobohan seperti merobohkan sesuatu monumen lama, mengganggu, menghalang, mengubahsuai, menandakan, meruntuh atau memindahkan sesuatu monumen itu atau mana-mana bahagian daripadanya, atau membuat perubahan, tambahan atau pembaikan kepada sesuatu monumen lama, atau  mendirikan bangunan-bangunan atau dinding-dinding bersempadankan sesuatu monumen lama.

Walau bagaimanapun, pada 16 April 2002, Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara' (Fatwa) Negeri Selangor telah bersidang dan sebulat suara memutuskan bahawa Masjid Alaeddin adalah wakaf oleh Almarhum Sultan Alaeddin Suleiman Shah. Menurut Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 1989, Pentadbir harta wakaf adalah Majlis Agama Islam Selangor. Oleh yang demikian, 'Akta Benda Purba' dalam hal ini tidak terpakai.

         Semenjak keputusan Fatwa Negeri Selangor ini dikeluarkan, kerja-kerja membaik pulih serta menaik taraf Masjid Sultan Alaeddin giat dilakukan. Banyak pengubahsuaian dan  tambahan telah dijalankan, terutama sekali pada bahagian dalamannya. Keseluruhan dinding dalaman telah disolek dengan penyudah kayu beralur, manakala sebelah dalam kubah telah dilitupi dengan siling kayu dekoratif, dihiasi dengan motif Kalimah Shahadah & nama-nama Khulafa' Arrasyidin. Bentuk asal kubah dari dalam sudah tidak kelihatan lagi. Masjid ini juga telah didaftarkan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) oleh Jabatan Warisan Negara pada tahun 2008.

 

PEJABAT DAERAH LAMA KUALA LANGAT

Pejabat Daerah Lama Kuala Langat Jugra merupakan bangunan pejabat daerah pertama dan tertua di Kuala Langat. Mula dibina pada tahun 1876, bangunan ini dulunya merupakan pusat pentadbiran pada zaman pemerintahan Inggeris. Ia merupakan bukti dan gambaran tentang sistem pemerintahan Inggeris yang dilaksanakan di Selangor. Bangunan dua tingkat ini dibina menggunakan batu granit dan teknologi terkini pada ketika itu. Atapnya pula dibina dari atap genting yang sama dengan yang digunakan bagi bumbung Istana Jugra.

Pejabat Daerah Lama ini telah digunakan sebagai pusat pentadbiran yang menguruskan hal-hal berkaitan dengan kewangan dan perundangan negeri. Di dalam bangunan ini juga terdapat bank dan mahkamah yang bertujuan untuk mempermudahkan pengurusan.

Lokasinya yang terletak di lereng Bukit Jugra dan menghala ke arah Sungai Langat menjadikan kedudukannya amat strategik. Kapal-kapal pedagang yang keluar masuk dapat diperhatikan dengan mudah. Ia juga merupakan pusat pentadbiran pada zaman pemerintahan Inggeris yang menguruskan hal-hal kewangan dan perundangan negeri.

Pada tahun 1920, Pejabat Daerah Kuala Langat telah berpindah ke lokasi baru, iaitu di Telok Datok. Semenjak itu, bangunan Pejabat Daerah Lama Kuala Langat ini kekal dalam lipatan sejarah.

 

STOR PELURU

Kedudukannya yang agak tersorok dari pandangan ramai menyebabkan tapak tinggalan sejarah ini kurang mendapat perhatian pengunjung. Stor Peluru yang terletak di Bukit Jugra merupakan ruang bagi menyimpan kelengkapan-kelengkapan perang, khususnya peluru-peluru serta alat-alat bedilan. Terletak berhampiran dengan tapak bekas Pejabat Daerah Lama, bangunan berbentuk dome ini dibina daripada simen serta mempunyai sebuah pintu.

Ia juga dilengkapi dengan lubang udara yang berfungsi sebagai ruang aliran udara di dalam stor peluru ini. Dilihat dari sudut Geografi, tempat ini terletak berhadapan dengan aliran Sungai Langat. Kedudukan yang strategik ini dipercayai bagi memudahkan proses pengangkutan peluru ke kawasan-kawasa berhampiran, mahupun ke tempat penyimpanan. Stor peluru di Bukit Jugra merupakan stor pertama yang dijumpai di negeri Selangor.

 


 

LAIN-LAIN

 

Tadom Hill Resort

TADOMHILLRESORT

      Mula menjadi viral di laman-laman sosial sekitar bulan Ogos 2015, Tadom Hill Resort menjadi daya tarikan baru kepada para pengunjung yang datang ke Banting. Terletak di sebuah perkampungan orang asli, Kampung Bukit Tadom (bersebelahan Kampung Labohan Dagang, kira-kira 20 km dari Pekan Banting), Tadom Hill Resort merupakan tempat rekreasi bagi pencinta-pencinta alam yang datang dari dalam mahupun luar negara.

     Antara keistimewaan yang ditawarkan di Tadom Hill Resort ialah kehijauan air tasik, pemandangan bukit batu kapur, penginapan berkonsepkan buluh (Tadom Hammock Sphere dan VIP Bamboo Hut), tapak perkhemahan (Tadom Tent Sites), di samping pelbagai aktiviti rekreasi lain seperti berenang, bermain rakit, BBQ dan sebagainya.

     Bagi menjamin keselamatan, para pengunjung sama ada golongan dewasa mahupun kanak-kanak dibekalkan dengan jaket keselamatan dan mereka diwajibkan memakai jaket tersebut sepanjang melakukan aktiviti air di dalam tasik. Dengan tawaran harga yang berpatutan, pengunjung boleh memilih sama ada ingin menginap di Tadom Hill Resort atau menggunakan pas lawatan harian.

                                                                                Facebook : https://www.facebook.com/tadomhill/

                                                                                Web        : tadomhillresort.com

                                                                                Emel       : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.