PANTAI PERANGINAN
Pantai Morib
Pantai Morib merupakan salah satu daya tarikan pelancong yang berkunjung ke daerah Kuala Langat. Pantai yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Pekan Banting ini sering menjadi pilihan untuk aktiviti riadah bersama keluarga mahupun rakan-rakan. Pantai Morib pernah mencatatkan sejarah tersendiri apabila menjadi tempat pendaratan semula tentera British di negeri Selangor sekitar tahun 1945. Tentera British yang datang bersama-sama dengan tentera Gurkha dari India telah mendarat di Pantai Morib untuk menakluki semula negeri Selangor yang pada ketika itu dikuasai oleh tentera Jepun.
Peristiwa pengguguran bom atom di Bandar Hiroshima dan Nagasaki telah menyebabkan pihak Jepun akhirnya menyerah kalah. Nasib penduduk di Pekan Banting yang pada ketika itu hidup dalam penderitaan dan kemelaratan di bawah pemerintahan Jepun akhirnya terbela setelah British mengambil alih tampuk pemerintahan. Sebagai memperingati peristiwa pendaratan tentera British dan Gurkha di Pantai Morib, mereka telah membina tugu peringatan di pantai ini.
Pantai Morib pernah mengalami fasa kemerosotan ekoran beberapa isu seperti masalah kebersihan dan persaingan dengan beberapa buah pantai berhampiran yang lain hingga menjejaskan jumlah kedatangan pelancong yang datang ke destinasi pelancong terkenal ini. Dalam usaha mengembalikan era kegemilangan Pantai Morib, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM6 juta di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua untuk kerja-kerja naik taraf.
Kini, dengan pelbagai kemudahan seperti tandas, gerai, surau, pondok, tempat meletak kenderaan dan taman permainan kanak-kanak, Pantai Morib kembali menjadi tumpuan ramai yang datang berkunjung pada setiap hujung minggu.
Pantai Kelanang
Sebuah lagi pantai yang menjadi daya tarikan pengunjung ke Pekan Banting ialah Pantai Kelanang. Terletak kira-kira 8 kilometer dari Pekan Banting, Pantai Kelanang baru sahaja dibuka kepada orang ramai terutamanya untuk penduduk di sekitar Kuala Langat sejak beberapa tahun yang lalu.
Struktur pantai yang landai dan ditumbuhi pokok bakau menjadi antara daya tarikan utama di Pantai Kelanang. Selain menjadi tumpuan untuk aktiviti berkelah dan beriadah, Pantai Kelanang merupakan salah satu lokasi kegemaran peminat-peminat seni fotografi untuk merakamkan foto-foto permandangan menarik yang terdapat di sini.
Pantai ini masih lagi dalam proses naik taraf dalam menyediakan lebih banyak kemudahan dan infrastruktur kepada pengunjung. Selain kemudahan-kemudahan asas seperti tandas awam, surau, gelanggang permainan dan tapak perkhemahan, Pantai Kelanang turut menyediakan Menara Pandang untuk memudahkan para pengunjung menikmati keindahan panorama dari atas menara setinggi empat tingkat ini.