276145 110622125816802 STD

     Kampung Kanchong Darat diteroka bermula pada tahun 1904 oleh sekumpulan orang yang datang dari Tanah Jawa, Indonesia yang terdiri dari Tuan Haji Abd Rahim, Tuan Haji Abd Rahman, Tuan Haji Abd Majid, Tuan Haji Ali dan Tuan Haji Khalil. Kawasan yang mula-mula sekali diterokai ialah kawasan di sebelah Kanchong Bengkok, yakni jalan yang menuju ke Kampung Tali Air sekarang. Kumpulan berikutnya telah datang meneroka kawasan lapis dua yang terdiri daripada Tuan Haji Shukur dan Encik Adam Sehat. Mereka telah meneroka bersama-sama Tuan Haji Khalil sehingga ke arah kawasan Kanchong Tengah sekarang.
 
       Selepas itu, baru datang kumpulan-kumpulan yang datang dari kawasan Morib dan Tali Air membuka kawasan baru menghala ke Pekan Banting. Kawasan yang mula dibuka adalah di sekitar Kanchong Timur dan kemudian diikuti di sebelah barat. Kawasan yang mula-mula menjadi tumpuan adalah di sekitar Batu 24 atau Kanchong Bengkok. Di sinilah mula-mula sekali terbinanya sekolah kebangsaan dan masjid.
 
       Kebanyakan penduduk berasal dari Tanah Jawa dan berketurunan Jawa, sementara sebahagian kecil penduduk berbangsa Banjar serta Melayu. Asal usul nama kampung ini berasal dari perkataan “Kancong” yang bererti “bekas air” diperbuat daripada buluh dan perkataan “Darat” pula adalah kerana kedudukannya jauh dari laut. Hasil gabungan kedua-dua perkataan ini, maka terbitlah nama Kampung Kanchong Darat. Antara rutin harian penduduk di sini ialah mengeluarkan hasil kampung di samping menjalankan aktiviti ekonomi dan sosial mereka.