MAKANAN TRADISI

 

Nasi Ambeng

va 02.1

(Sumber Foto : Akhbar Kosmo Online)

Nasi Ambeng merupakan salah satu makanan tradisional yang sinonim dengan masyarakat Jawa di Banting. Lazimnya, hidangan nasi Ambeng di Banting terdiri daripada nasi putih, ayam masak kicap, mee goreng, sayur, serta ikan masin bulu ayam, tempe dan kacang tanah yang digoreng dan dicampur bersama serunding kelapa.  

Jika sebelum ini, hidangan nasi ambeng sering disajikan dalam majlis-majlis keramaian, seperti kenduri tahlil, cukur jambul, doa selamat dan sebagainya. Namun, ekoran sambutan dan permintaan yang menggalakkan daripada penggemar-penggemarnya, nasi ambeng kini boleh didapati di kebanyakan pasar-pasar malam dan beberapa kedai makan di sekitar Pekan Banting.

Kebiasaannya pada majlis-majlis kenduri, tuan rumah akan menghidangkan nasi ambeng di dalam  dulang besar (talam) yang dialas dengan daun pisang. Para jemputan akan menikmati nasi ambeng dalam tersebut tersebut secara beramai-ramai. Nasi ambeng ini juga akan dibungkus sebagai berkat (atau ‘bontrot’ dalam kalangan amsyarakat Jawa) untuk dibawa pulang oleh para jemputan yang menghadiri majlis kenduri.

 

Kerepek

Populariti kerepek yang dihasilkan di kilang-kilang sekitar Banting sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. Ramai pembeli dari luar sanggup datang ke Banting semata-mata untuk membeli kerepek di kilang-kilang yang terdapat di sini, sama ada secara borong mahupun runcit. Antara kilang pembuatan dan pembekalan kerepek yang terkenal di sini ialah Kerepek House, Ros Kerepek, Jaez Industries dan sebagainya.

Terdapat pelbagai jenis kerepek yang dijual di Banting, termasuklah kerepek dan jejari ubi, kerepek pisang tanduk  dan pisang abu masin, maruku, kerepek bawang, opak kari, kerepek tempe, kerepek keledek ungu, rempeyek dan sebagainya. Selain itu juga, kedai-kedai penjualan kerepek ini juga turut memberi peluang kepada usahawan-usahawan lain untuk meletakkan produk mereka di sini seperti biskut, sambal pecal, dodol, popia dan pelbagai lagi kuih tradisional lain.

Penubuhan kilang-kilang kerepek ini telah membantu menambahkan pendapatan penduduk setempat, dan secara tidak langsungmembantu meningkatkan ekonomi negara. Kini kerepek keluaran kilang-kilang di Banting bukan lagi makanan yang hanya boleh didapati pada musim perayaan, tetapi juga boleh dibeli dan dinikmati pada hari-hari biasa.

     

Koci dan Lemper

koci

(Sumber Foto : A Whiff of LemongrassPoh's Kitchen)

 

LEMPER

(Sumber Foto : Sedap Indo)

         Kuih koci dan lemper merupakan dua jenis kuih tradisional yang terkenal dalam kalangan masyarakat Jawa di Banting. Keenakan dan keunikan rasa menyebabkan kedua-dua kuih tradisional ini menjadi antara menu wajib dalam sesebuah majlis perkahwinan. Menggunakan daun pisang sebagai kaedah pembungkusan, penghasilan kuih koci dan lemper dibuat secara bergotong-royong oleh komuniti setempat, sehari sebelum majlis perkahwinan berlangsung.

          Kuih koci diperbuat daripada bahan-bahan seperti tepung pulut, campuran tepung pulut hitam atau labu atau keledek (pilihan), air dan garam yang diuli sehingga menjadi doh. Manakala intinya diperbuat daripada campuran kelapa parut, gula Melaka, gula pasir, sedikit tepung gandum (melikatkan inti agar mudah dibentuk), garam, daun  pandan dan air yang dimasak di atas kuali sehingga kering. Doh dan inti akan dibentuk menjadi bulat dan dibungkus dalam daun pisang (yang telah dilayukan di atas api) sebelum dikukus sehingga masak.

             Manakala kuih lemper terdiri daripada pulut yang telah dimasak dan diisi dengan inti serunding. Bahan-bahan untuk menghasilkan inti serunding ialah campuran kelapa parut yang disangai,hirisan bawang putih dan serai yang digoreng dan ditumbuk, lada putih, serta garam dan gula sebagai perasa. Pulut yang telah dimasak dan diisi dengan inti serunding akan dikepal dan dibentuk menjadi lonjong, sebelum dililit dengan barut daun pisang (seakan hidangan sushi).  Kuih lemper yang telah dibentuk dan dibarut kemudiannya dibungkus dengan daun pisang dan dikepil dengan lidi. Keenakan kuih lemper yang dihasilkan seringkali diukur melalui kesedapan inti serunding yang dihasilkan. Sepertimana kuih koci, kuih lemper juga akan dikukus sehingga masak, sebelum disejukkan dan dihidangkan kepada tetamu yang hadir ke majlis perkahwinn.

 

Pecal

           Satu lagi makanan tradisi masyarakat Jawa yang boleh didapati di Banting ialah pecal (disebut sebagai ‘pecel’ dalam kalangan masyarakat Jawa). Apabila menyebut tentang pecal/pecel, pasti ramai yang keliru antara pecal sayur, pecel lele dan pecel ayam (juga dikenali sebagai keli penyet dan ayam penyet).

 

           Pecal sayur terdiri daripada sayur-sayuran seperti pucuk ubi/kangkung, tauge, timun/sengkuang, kacang panjang dan sebagainya yang dicelur/dihiris dan dimakan bersama kuah pecal (yang menggunakan kacang tanah sebagai bahan utama). Manakala pecel lele dan pecel ayam merupakan set nasi yang menjadikan ikan keli goreng atau ayam goreng sebagai sajian utama, dan dihidangkan bersama ulam-ulaman seperti kacang panjang, kobis, tomato beserta hirisan tempe/tauhu goreng, di samping sambal cili dan kuah sup kosong.

 

             Populariti pecal sayur di Banting sememangnya tidak dapat dinafikan. Pecal sayur bukan sahaja dinikmati dalam sajian harian, malah kadang kala turut menjadi salah satu menu hidangan dalam majlis kenduri-kendara. Pecal tradisional lazimnya dijual dalam bungkusan surat khabar yang dialas dengan daun pisang. Harganya kian meningkat saban tahun seiring dengan kenaikan harga bahan mentah.

 

         Walaupun sayur-sayuran yang menjadi bahan utama dalam pecal mudah didapati di mana-mana, namun agak sukar bagi penggemar pecal untuk menghasilkan kuah pecal yang enak dan pekat. Menyedari sambutan yang sangat menggalakkan, ramai usahawan/penduduk tempatan yang mengambil inisiatif dengan menghasil dan memasarkan kuah pecal segera bagi memudahkan orang ramai menikmati keenakan pecal sama seperti yang terdapat di Banting.