SEKOLAH

Sekolah Agama Menengah Unwanus Saadah 

Sekolah Agama Menengah Unwanus Saadah (SAMUS) Kanchong Darat

    Sekolah Menengah Agama Unwanus Saadah Kanchong Darat atau lebih dikenali sebagai SAMUSKD merupakan salah sebuah sekolah yang terdapat di Kampung Kanchong Darat. Dibina pada tahun 1946, sekolah ini merupakan hasil inisiatif yang diusahakan oleh Tuan Haji Ibrahim Bin Haji Ismail, Raja Haji Daud bin Raja Haji Busu, serta Haji Usman bin Haji Taib. Pada peringkat awal, sekolah ini dikenali dengan nama Madrasah Unwanus Saadah dan dibina berhampiran dengan Masjid Jamek Kanchong Darat. Namun setelah Jabatan Agama Islam Selangor mengambil alih pengurusan sekolah, nama Madrasah Unwanus Saadah telah ditukar kepada Sekolah Agama Menengah Rendah Unwanus Saadah.

     Tapak sekolah ini telah dipindahkan ke kawasan Sekolah Rendah Agama Kanchong Darat, dan kemudiannya dibina semula di kawasan KM 39, Kanchong Darat. Pada peringkat awal, sekolah ini hanya menerima pelajar-pelajar menengah rendah. Namun bermula pada tahun 1989, Sekolah Agama Menengah Rendah Unwanus Saadah telah membuka tawaran mengambil pelajar-pelajar tingkatan 5. Bermula dari saat itu, nama Sekolah Agama Menengah Rendah Unwanus Saadah telah ditukar kepada Sekolah Agama Menegah Unwanus Saadah.

      Pada tahun 1998, Sekolah Agama Menengah Unwanus Saadah telah menempa sejarah yang tersendiri apabila dianugerahkan sijil MS ISO 9002 oleh pihak SIRIM Berhad bagi mengiktiraf mutu pengurusan dan pentadbiran sekolah. Hal ini disifatkan sebagai rekod pertama di Malaysia kerana buat pertama kalinya sekolah agama di negara ini berjaya mendapat sijil kualiti tersebut.

      Dengan motto ‘Akademik Cemerlang, Sahsiah Gemilang, SAMUSKD Terbilang’, Sekolah Agama Menengah Unwanus Saadah Kanchong Darat terus mengorak langkah dalam usaha membangun potensi individu melalui pendidikan berkualiti.